Thursday, September 9, 2010

Kebanjiran Warga Asing

Kebanjiran warga asing sejak akhir-akhir ini menjadi isu yang semakin hangat di negara kita, Malaysia. Negara kita telah menjadi tumpuan warga asing dari pelbagai negara untuk mencari rezeki, dan mereka ini biasanya datang dari negara yang miskin seperti Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan Vietnam. Pemandangan di bandar-bandar besar di Malaysia yang dibanjiri dengan warga asing telah menjadi fenomena dan pemandangan biasa. Kebanjiran warga asing di negara ini semakin meningkat dan bandaraya kini sesak dengan warga asing yang melepak, dan bergelandangan seperti di KLCC, tepi-tepi jalan, dan lain-lain lagi.

Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan warga asing untuk berhijrah ke Malaysia. Antaranya ialah kerana keadaan politik yang tidak stabil di Indonesia contohnya, telah menggalakkan pemuda-pemudi negara itu datang mencari rezeki di negara kita kerana peluang pekerjaan adalah terhad di Indonesia. Selain itu, kadar inflasi yang tinggi di negara yang miskin telah menyebabkan mereka yang miskin menjadi lebih miskin. Permintaan yang tinggi terhadap buruh asing oleh majikan tempatan juga telah menyebabkan warga asing sanggup menerima gaji yang lebih rendah berbanding pekerja tempatan. Keadaan ini menjadi lebih teruk dengan adanya sikap pekerja tempatan yang suka memilih kerja dan mengharapkan gaji yang lebih tinggi.

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menyifatkan kebanjiran terlalu ramai warga asing ke Malaysia juga berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab agensi pekerja asing yang membawa masuk mereka ke negara ini. Kedatangan pendatang asing, khususnya yang tanpa izin, juga mendatangkan masalah perumahan. Mereka akan mendirikan kawasan perumahan secara haram. Sesetengah kumpulan pendatang asing ini pula membuka kawasan hutan sebagai kawasan perumahan mereka. Kawasan setinggan ini tidak teratur dan kekurangan kemudahan asas, seperti sistem pembuangan sampah dan air kumbahan. Oleh itu, pencemaran alam sekitar akan berlaku. Selain itu, pembangunan negara pada masa akan datang juga terbantut kerana kemunculan setinggan ini. Imej negara kita juga terjejas kerana ini menggambarkan kelemahan pentadbiran kerajaan serta pengagihan ekonomi yang tidak seimbang. Terdapat juga kawasan perkampungan haram yang mewah, lengkap dengan bekalan elektrik, dan air.

Tidak dapat dinafikan bahawa kedatangan warga asing ke Malaysia ini memberi banyak kesan positif dan negatif. Antara kesan positifnya ialah dalam mengatasi masalah kekurangan pekerja, terutamanya dalam sektor pembinaan, perladangan, dan pembuatan serta perkhidmatan. Ini kerana, pekerja tempatan kurang berminat dalam sektor-sektor ini dengan alasan kurang popular dan ada yang memandang rendah pekerjaan sebegini. Namun bagi pekerja asing, mereka tidak memilih pekerjaan. Apa sahaja yang ditawarkan akan diterima tanpa banyak soal, kerana pengalaman berada dalam suasana kesempitan di negara asal menjadikan mereka berjiwa kental dan tahan lasak.

Dengan kedatangan warga asing juga dapat mempercepat atau memacu pembangunan negara ke arah kewujudan sebuah negara maju, selaras denagn wawasan 2020. Purata indeks pertumbuhan negara telah mencatatkan pertumbuhan yang memberansangkan, jadi dapat dilihat disini Malaysia memerlukan tenaga buruh untuk membangunkan infrastruktur dan prasarana negara. Kebanjiran pekerja asing ke Malaysia dengan kadar upah yang rendah dan murah menyebabkan pelabur asing tertarik untuk membuat pelaburan di Malaysia. Hal ini dapat dilihat terutamanya dalam sektor perkilangan dan perladangan.

Selain itu, hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Indonesia dan Filipina dapat dipereratkan dan boleh menyebabkan negara asing terhutang budi dengan Malaysia kerana membantu negara-negara tersebut mengurangkan masalah pengangguran di negara masing-masing.

Namun begitu, kesan negatif terhadap kedatangan warga asing ini juga dapat dilihat begitu ketara pada masa kini. Antaranya ialah dapat menjejaskan periuk nasi rakyat tempatan, seterusnya meningkatkan kadar pengangguran di Malaysia. Ini kerana upah yang murah daripada majikan menyebabkan pekerja tempatan menerima tempiasnya, sedangkan pekerja tempatan terpaksa menampung pelbagai kos sara hidup yang semakin membebankan. Jelaslah bahawa kehadiran pekerja asing menyebabkan banyak peluang kerja kepada penduduk tempatan tertutup. Hak rakyat kita juga sedikit sebanyak terjejas. Pihak majikan lebih suka mengupah pendatang asing tanpa izin dalam sektor perladangan, pembinaan, dan pembantu rumah kerana gaji mereka jauh lebih murah. Hal ini pasti menjejaskan peluang pekerjaan rakyat kita sungguhpun bukan semua rakyat kita berminat dalam bidang pekerjaan ini. Selain itu, banyak antara mereka melibatkan diri dalam perniagaan, misalnya membuka gerai makanan, menjual barang kemas, lampu hiasan, batik dan sebagainya. Malah ada antara mereka yang menjadi kaya-raya, berumah besar tanpa membayar cukai pendapatan. Pada ketika nilai wang kita jatuh dengan teruknya, peluang pekerjaan rakyat semakin sempit. Hal ini memang tidak adil kepada rakyat kita.

Selain itu, peningkatan masalah sosial dan kadar jenayah daripada seperti merompak, membunuh, samun, rogol, pelacuran, dan sebagainya telah menyebabkan rakyat tempatan berada dalam keadaan tidak aman dan tenteram seterusnya dapat menjejaskan imej negara di persada dunia. Berdasarkan laporan, jenayah yang paling tinggi dilakukan oleh warga Indonesia, Filipina, Myanmar, Vietnam dan Bangladesh.

Terdapat dua kategori bagi warga asing yang datang ke Malaysia iaitu pendatang asing yang datang secara sah dan pendatang asing tanpa izin (PATI). Pekerja yang datang ke Malaysia secara sah adalah yang telah ditentukan jenis pekerjaan, siapakah majikannya, dimana tempat tinggal dan telah melalui pelbagai proses untuk memenuhi kelayakan sebagai pekerja. Mereka kemudiannya diberikan permit kerja yang dinyatakan tempoh untuk mereka bekerja di negara ini. Kategori pekerja jenis ini mempunyai dokumen perjalanan yang sah, bebas daripada penyakit berjangkit, mempunyai kontrak pekerjaan yang sah dan tidak membawa banyak masalah kepada masyarakat. Majikan mereka juga lebih bertanggungjawab dengan menyediakan tempat kediaman, makanan dan perkhidmatan perubatan.

Bagi kategori PATI iaitu pendatang tanpa izin, mereka tidak pernah melalui proses seperti kategori pendatang yang sah. Mereka juga tidak mempunyai dokumen perjalanan, risiko penyakit berjangkit yang tinggi seperti tuberculosis (tibi) dan mudah dieksploitasi. PATI yang ditangkap kerana pelbagai kesalahan imigresen dan jenayah hanya membebankan pihak kerajaan kerana terpaksa menanggung kos penahanan dan penghantaran ke negara asal mereka. Kes-kes yang lebih rumit seperti imej implikasi buruk terhadap negara asal pendatang berkenaan.

Dalam usaha membendung kehadiran PATI, beberapa langkah boleh diambil seperti pihak berkuasa wajar meningkatkan kawalan dan pengawasan di sepanjang pantai dan sempadan negara kita. Pihak polis marin, imigresen dan tentera laut hendaklah bergabung tenaga dan bertindak secara bersepadu. Pihak-pihak tersebut harus lebih giat mengesan tempat-tempat pencerobohan untuk menyekat kemasukan PATI. Mereka hendaklah menjalankan pemeriksaan lebih kerap di kawasan sempadan yang mudah dicerobohi. Usaha seumpama ini akan menyukarkan kemasukan pendatang tanpa izin lalu mengurangkan jumlah PATI di negara kita.

Seterusnya pihak polis perlu juga meningkatkan penguatkuasaan undang-undang berhubung pekerja asing, terutamanya yang masuk tanpa izin. Pihak berkuasa hendaklah sentiasa mengawasi dalang dan sindiket yang menguruskan kemasukan pendatang asing tanpa izin ini. Mereka yang diberkas seharusnya dijatuhi hukuman yang berat termasuk hukuman mandatori. Para pendatang asing yang ditahan ini harus dikenakan tindakan undang-undang yang tegas agar mereka tidak mengulangi kesalahan yang dilakukan.

Di samping itu, semua pihak yang berkuasa wajar melipatgandakan operasi-operasi mengesan, menahan dan menghantar semula pekerjapekerja tanpa izin. Pelancaran operasi kerajaan seperti Operasi Pemutihan dan Operasi Nyah amat berkesan dalam usaha membendung limpahan pendatang asing tanpa izin. Operasioperasi seperti ini akan mengurangkan kecenderungan kemasukan pendatang tanpa izin ke negara kita. Walau bagaimanapun, kejayaan dan keberkesanan operasi seumpama ini amat bergantung kepada kerjasama dan sokongan orang ramai dan ketegasan pihak kerajaan.

Usaha-usaha menghalang limpahan pekerja asing tanpa izin tidak akan mendatangkan kejayaan yang memberangsangkan jika tidak disertai kerjasama masyarakat, terutamanya pihak majikan. Sesungguhnya sikap majikan yang acuh tak acuh terhadap seruan kerajaan berhubung masalah pendatang asing tanpa izin telah memburukkan keadaan. Golongan ini seharusnya mengubah sikap demi kepentingan negara dan rakyat. Majikan hendaklah menggaji pekerja asing yang memiliki visa dan permit kerja yang sah sahaja.

Kerjasama antara kerajaan Malaysia dan kerajaan negara jiran yang terbabit amat penting untuk membendung kemasukan pendatang asing tanpa izin. Pihak kerajaan melalui Kementerian Luar Negeri, perlu menganjurkan rundingan tentang kawalan sempadan. Malahan adalah perlu untuk mewujudkan pasukan bertindak bersama bagi menjamin kawalan sempadan yang lebih efektif Selain itu, ejen-ejen yang sah perlu dilantik untuk mengendalikan kemasukan pekerja asing secara lebih teratur dan terkawal.

Kesimpulannya, keperluan dan peranan pekerja asing dalam pembangunan ekonomi negara kita memang tidak dapat dinafikan. Namun demikian, limpahan pekerja asing terutamanya pendatang tanpa izin yang tidak dikawal dan berterusan sudah tentu akan memudaratkan kesejahteraan rakyat kita.



Masalah Sosial








GRO ( GADIS MELAYU )
Tempat : Kelab malam di Johor Bharu
Masa : 02.00 pagi





Remaja Bermotor (Mat Rempit)
Tempat : Bandar Kuala Terengganu
Masa : 12.00 malam





Remaja Melepak
Tempat : Sekitar Bandar Kuala Terengganu
Masa : 11.00 malam





Remaja Ber"couple"
Tempat : Stesen Komuter Mid Valley
Masa : 09.30 malam





Kebanjiran Warga Asing
Tempat: Sekitar Bangi
Masa: 11.30 pagi

Masalah Pembuangan Bayi









Saban hari, negara kita sering dihangatkan dengan pelbagai berita, ulasan dan isu di dada-data akhbar. Berita tersebut menjadi isu yang hangat ketika ini dan menjadi perbualan di antara anggota masyarakat. Sudah pasti semua dapat meneka isu tersebut. Ia adalah mengenai isu pembuangan bayi. Kes-kes ini telah mendominasi dada-dada akhbar sejak kebelakngan ini. Hari demi hari akan tersiar kes pembuangan bayi yang baru. Ianya telah menjadi satu isu yang biasa berlaku di kalangan rakyat Malaysia. Jika pada zaman dahulu, masyarakat tergempar dengan kes pembuangan bayi, namun pada zaman sekarang tidak lagi. Masyarakat zaman sekarang menganggap ia perkara biasa kerana saban hari berita mengenai kes pembuangan bayi akan dilaporkan di dada-dada akhbar. Perkara ini dikhuatiri kerana ia akan membuat manusia hilang timbang rasa dan perikemanusiaan. Lantas, tindakan dan langkah haruslah diambil bagi mengelakkan masalah pembuangan bayi menjadi semakin rumit untuk diselesaikan dan semakin menjadi kebiasaan di kalangan masyarakat kita. Pada tahun 2009, media telah melaporkan bahawa terdapat seramai 17,303 anak luar nikah yang telah didaftarkan. Terdapat pelbagai tempat yang menjadi sasaran pembuangan bayi. Ada yang sanggup buang bayi dalam plastik, dalam botol dan sehingglah ada yang sanggup membakar bayi tersebutdi tempat pembuangan sampah. Apakah yang perlu dilakukan oleh kerajaan untuk membendung masalah ini? Adakah hukuman maksimum selama 2 tahun yang dipraktikkan sekarang memadai untuk membendung masalah ini? Pada ketika ini, bagi kes pembuangan bayi, pesalah hanya akan disabitkan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana telah menyembunyikan kelahiran yang boleh membawa hukuman selama 2 tahun penjara atau denda atau kedua-duanya.


‏قَالَ النَّبِيُّ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ َ

Hadis ini menyebutkan bahawa seorang bayi itu dilahirkan dalam keadaan fitrah (bersih akidahnya).. Maka kedua ibubapanya yang akan menjadikannya (kerana asuhan dan didikan) yahudi atau nasrani atau majusi.

Ini membuktikan bahawa bayi adalah anugerah Allah yang amat berharga. Perbuatan membuang bayi bukan sahaja merosakkan sesuatu kaum malah ia lebih melibatkan kepada pembunuhan seorang insan yang tidak berdosa.

Jika hukuman mati mandatori dikenakan kepada pembunuh, kenapa tidak hukuman seperti ini tidak diaplikasikan kepada pesalah yang melakukan pembuangan bayi. Ini kerana kes pembuangn bayi juga boleh dianggap sebagai satu kes pembunuhan dan mereka yang melakukan perkara ini merupakan orang yang paling kejam dan tidak mempunyai pedoman hidup. Apakah dosa bayi tersebut? Adakah silap mereka kerana lahir di dunia ini? Bayi tersebut tidak berdosa malah mereka berhak untuk hidup seperti kanak-kanak lain.

Isu mengenai masalah pembuangan bayi haruslah dibendung dari awal supaya ia tidak berlanjutan. Hukuman haruslah dilakukan mengikut cara islam. Setiap orang tidak harus menyalahkan mana-mana pihak. Seharusnya mereka berganding bahu untuk mencari jalan terbaik mengatasi masalah ini. Pihak kerajaan dan pemerintah seharusnya mencari inisiatif yang terbaik kerana mereka bertanggungjawab melakukan hukuman yang sebetulnya. Selaras dengan itu, kerajaan harus memperbanyakkan lagi kempen seperti “Kami Prihatin” yang telah dilakukan

bagi menyematkan rasa tanggungjawab terhadap remaja kita. Seterusnya, program-program hiburan melampau perlulah dihentikan dan ibu bapa perlulah mengawal pergerakan anak-anak daripada terlibat dengan pergaulan bebas. Usaha-usaha pencegahan kegiatan tidak bermoral perlulah dipertingkatkan oleh semua pihak. Akhirnya adalah diingatkan bagi mereka yang sudah terlanjur, hendaklah segera bertaubat dan menjauhi segala perbuatan terkutuk tersebut.

Kita sebagai umat Islam seharusnya sedar akan dosa membuang dan menamatkan nyawa seorang insan yang tidak bersalah. Walaupun seberat mana hukuman diberikan kepada pesalah, ia tidak akan mengembalikan nyawa bayi tersebut. Jika kita mengamalkan ajaran islam yang betul, tentu kita akan fikirkan akibat yang akan kita lalui apabila berada di akhirat kelak. Tetapi sayangnya ada antara kita yang tidak mengamalkan cara hidup Islam yang betul sehinggakan menghasilkan benih luar nikah. Berilah peluang bayi tersebut menjalani kehidupan seperti bayi-bayi lain.


STATISTIK KES PEMBUANGAN BAYI

Statistik Kes Pembuangan Bayi antara tahun 2005-2010


Laporan Jabatan Pendaftaran Negara bagi kelahiran anak luar nikah


Statistik Kes Pembuangan Bayi daripada sumber PDRM dan JKM


Statistik Kes Pembuangan Bayi antara tahun 2000-2006

Sunday, August 8, 2010

Teori Rasional-Emotif Terapi

Tokoh Teori


Teori Rasional-Emotif Terapi diasaskan oleh Albert Ellis. Beliau dilahirkan pada tahun 1913 di Pittsburgh, Amerika Syarikat. Teori ini terbina apabila beliau mendapati bahawa teori Psikoanalisis yang dipelopori oleh Freud tidak mendalam dan adalah satu bentuk pemulihan yang tidak saintifik. Pada awal tahun 1955, beliau telah menggabungkan terapi-terapi kemanusiaan, fisolofikal dan tingkah laku menjadi teori emosional-rasional (RET). Semenjak itu, beliau terkenal sebagai bapa kepada teori RET. Pada 1947 hingga 1953, Ellis telah menjalankan kajian berasaskan psikoterapi dan hasilnya mendapati bahawa terapi psikoanalisis tidak begitu menyeluruh dan tidak saintifik.

Ellis berpendapat bahawa pendekatan yang dibawakan oleh Freud kurang lengkap kerana ada individu bertambah teruk selepas menjalani pendekatan psikoanalisis. Hipotesis RET menyatakan bahawa emosi berpunca daripada kepercayaan, penilaian, interpretasi dan tindakan daripada situasi kehidupan. Di dalam proses teraputik emosi-rasional, klien mempelajari kemahiran yang akan digunakan untuk mengenal dan memerangi kepercayaan yang telah tertanam lama di dalam diri seseorang. Ini adalah kerana teori ini lebih bersifat 'pendidikan' daripada perubatan yang telah direka. Ellis terkenal dengan bukunya yang bertajuk 'Reason and Emotion In Psychotherapy' dan bersama-sama dengan Robert A Harper, beliau telah mengeluarkan buku berjudul 'A Guide to Rational Living'.


Pendekatan Teori

RET juga dikelali sebagai Terapi A-B-C yang mana merupakan satu teori yang mempunyai kelainan dengan teori-teori yang lain terutamanya Teori Psikoanalisis, Teori Pemusatan Insan, Gestalt dan lain-lain. Ini disebabkan oleh teori ini mementingkan tiga aspek utama iaitu kognitif, emosi dan tingkah laku. Teori ini memberi penekanan kepada pemikiran, penganalisan, penilaian, perlakuan dan membuat keputusan. Pendekatan teori ini lebih bercorak deduktif atau mengajar, mengarah dan mengutamakan kepada pemikiran daripada kepercayaan yang tidak rasional. Terapi ini yakin bahawa setiap individu mempunyai sistem kepercayaan yang tidak rasional dimana kepercayaan ini perlu dicabar dan diperbetulkan agar dapat mewujudkan kepercayaan yang baik dan rasional. Dalam konteks ini, ia merupakan satu sistem pendidikan semula yang mengajar individu untuk melihat semula sistem kepercayaan yang membuatkan dirinya menderita dengan menggantikan semuala dengan satu set kepercayaan yang membawa kepada kesejahteraan dan kebahagiaab pada diri seseorang individu dan seterusnya kepada orang yang signifikan dengannya.

Prinsip terapi RET dapat digunakan kepada masalah semasa, masalah yang lain dalam kehidupan dan juga masalah yang mungkin dihadapi pada masa akan datang. Prinsip ini memberi fokus kepada pemikiran dan tindakan, bukannya hanya mengikut perasaan. Terapi ini dianggap sebagai satu proses pembelajaran kerana mempunyai fungsi kaunselor yang pelbagai. Kadang kala kaunselor bertindak sebagai seorang guru yang memberi tugasan kepada pelajar iaitu klien dalam konteks terapi ini. Teori Ellis ini berasaskan andaian bahawa individu-individu mempunyai keupayaan bertindak sama ada dalam bentuk rasional mahupun tidak rasional. Tingkah laku rasional dilhat sebagai keberkesanan dan kemungkinan produktif, manakala tingkah laku tidak rasional memberikan hasil dalam keadaan tidak gembira dan menghasilkan 'output'.

Menurut J Blackham, terdapat dua tujuan utama RET iaitu mendemonstrasikan pada klien bahawa berkata-kata kepada diri sendiri itu adalah akibat daripada gangguan dan menilai kembali berkata dalam diri sendiri demi menghapuskannya dan menolak semua idea yang tidak logik. Dalam buku-buku Ellis seperti The Art and Science of Love, The Intelligent Woman's Guide To Man-Hunting, Humanistic Psychotherapy dan The Rational-Emotive Approach banyak menggambarkan kepada sifat manusia. Contohnya, kemampuan manusia berfikir sesuatu melalui proses-prosesnya. Ellis menggalakan manusia supaya menganggap diri mereka berkebolehan. Beliau yakin jika manusia boleh menggunakan rasional mereka dalam mentadbir diri, maka tidak ada lapangan dalam kehidupan mereka yang tidak boleh diperbaiki.

Menurut Muhd Mansur Abdullah (1997),dalam melahirkan teorinya, Ellis banyak menggunakan sistem-sistem psikologi dan falsafah iaitu menggabungkan intipati Falsafah Stoid, Psikoanalisis Freud, Psikologi Individu Alfred Adler dan Orientasi Tingkah Laku Pavlov dan Wolpe. Kesemua sistem ini membantunya meneguhkan lagi teori dan pendekatannya. Disebabkan itu, Ellis menekankan "When people emote, they also think and act. When they act, they alsi think and emote. When they think, they also emote and act. To understand self-defeating behavior, one must understand how a person feels, thinks, perceives and acts."


Pandangan Teori Terhadap Manusia

Hubungan emosi dan pemikiran adalah berhubung rapat dan tidak dapat dipisahkan. Oleh sebab itu, segala pemikiran dan kepercayaan yang tidak rasional itu berpunca daripada proses dan pengaruh budaya dan pembelajaran. Menurut teori RET, seseorang yang bermasalah akan mempunyai suatu sistem kepercayaan atau suatu 'belief system' yang penuh dengan kepercayaan yang tidak rasional mengenai perkara dilihat dan dialaminya. Albert Ellis telah memberikan beberapa idea tentang pemikiran yang tidak rasional. Antaranya adalah seseorang individu mempercayai bahawa ia mesti disayangi oleh orang-orang penting atau signifikan kepada dirinya seperti ibubapa, adik beradik dan rakan-rakan. Individu juga percaya bahawa ia mesti membuktikan bahawa ia merupakan seseorang yang berkebolehan dan berkemampuan.

Seseorang individu juga haruslah mempercayai bahawa jika terdapat individu yang lain melakukan kesalahan atau tidak berlaku adil, maka seharusnya ia dikutuk dan menyalahkan dirinya dan ia dilihat sebagai orang yang tidak baik. Masa lampau juga dianggap sangat penting kerana ia mempengaruhi hidup seseorang individu. Ellis mempercayai bahawa masa lampau itulah yang akan menentukan perasaan seseorang individu pada masa kini. Seseorang individu itu juga mempercayai bahawa ia perlu melihat kehidupannya yang sangat teruk jika ia tidak dapat menyelesaikan masalah kepada kehidupannya.

Bagi menerangkan dengan jelas bagaimana gangguan emosi dan fikiran berlaku, maka kita akan menggunakan konsep ABCDE yang telah dinyatakan oleh Ellis iaitu A ialah penggerak pengalaman activating experience atau peristiwa, faktor sikap atau tingkah laku yang dialami oleh seseorang. Contohnya gagal dalam peperiksaan. B pula merupakan sistem kepercayaan yang dianuti oleh seseorang person's belief system. Contohnya, "Saya kelihatan tidak cantik'. Manakala C ialah akibat consequence iaitu hasil daripada penilaian oleh B ke atas A da ditafsirkannya. D pula adalah kaedah-kaedah untuk berhujah, mengajar dan memperbetulkan sistem kepercayaan yang tidak rasional yang menyebabkan individu itu mengalami suatu reaksi emosi yang tidak rasional. Contohya, "Saya tidak mahu kamu yang menyebabkan saya mengalami kerugian besar dalam hidup saya". Dan akhir sekali adalah E iaitu menjadi normal dan mempunyai sistem kepercayaan dan penilaian yang rasional dan positif. Contohnya, saya berasa gembira.

Dari perspektif RET, ramai terapis telah membuat kesilapan kerana memfokuskan kepada sejarah hidup yang lampau dan cara tindakan adalah semua peristiwa masa kanak-kanak boleh diubah. Terdapat juga terapis yang melakukan kesilapan dengan terlalu menekankan dalam usaha klien mengenal diri, meluahkan perasaan dan perubahan pemikiran. Keadaan ini mendorong klien untuk melupakan peristiwa awal kanak-kanak dan menumpukan pemikiran sekarang. Bagi Ellis, cara ini tidak produktif kerana sesuatu yang menyebabkan emosional tidak akan hilang malah ia akan menambahkan lagi kehebatan perasaan tersebut.

Oleh itu, bagi Ellis terapis dan klien perlu bekerjasama untuk mencabar kepercayaan tidak rasional yang mengakibatkan gangguan emosi. Mereka perlu menuju ke arah mengubah perkara yang tidak realiti, tidak matang dan tidak logik kepada pemikiran yang logik, matang dan realistik. Persoalannya, bagaimanakah emosional yang terganggu itu boleh wujud dalam diri seseorang individu? Dalam hal ini, Ellis telah menjelaskan bahawa individu yang mengalami gangguan adalah individu yang sentiasa mengulangi ayat-ayat yang tidak logik. Contohnya, individu itu berkata "Saya sangat kecewa dengan kegagalan dalam peperiksaan. Kegagalan saya semuanya bepunca dari kesilapan diri saya sendiri. Saya merupakan manusia yang paling bodoh". Gangguan emosi ini menyebababkan wujudnya tekanan dalam diri seseorang. Keadaan ini akan mengakibatkan individu itu akan kekal berpegang dengan kepercayaan yang tidak rasional itu. Kepercayaan inilah yang perlu dibantu oleh kaunselor agar klien tersebut dapat merasionalkan darinya dalam menghapuskan fahaman-fahaman dan kepercayaan yang tidak rasional yang ada pada dirinya.


Monday, August 2, 2010

" Bagaimana Kefungsian Sosial Individu Dapat Membantu Menyelesaikan Masalah?"

Kefungsian sosial membawa maksud tujuan atau tugas tertentu bagi setiap anggota masyarakat kepada sistem dalam masyarakatnya dan kesan yang dihasilkan terhadapt orang lain. Fungsi membawa maksud tugas atau keadaan yang menyebabkan proses pengadaptasian dan penyelarasan kepada sesuatu sistem berlaku. Kefungsian sosial juga boleh didefinisikan sebagai satu aktiviti yang sangat penting untuk melengkapkan hubungan antara komponen-komponen pengalaman sosial dalam kehidupan sosial. Kefungsian sosial memainkan peranan penting dalam setiap aspek kehidupan dan tanpanya kehidupan seharian seseorang induvidu akan menjadi huru hara dan mungkin akan membawa kepada bencana. Kefungsian sosial dapat dilihat sebagai suatu proses sosialisasi yang memberi kesan kepada persekitarannya. Komponen-komponen yang wajib dalam menilai keberkesanan sosial adalah status sosial, rol sosial, kelompok sosial dan institusi sosial.Contohnya Ahmad merupakan seorang pelajar pintar yang berasal daripada keluarga yang miskin. Dia terpaksa ponteng sekolah kerana ingin mencari rezeki buat ahli keluarganya. Namun begitu, dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang pelajar. Dia akan bertanyakan kepada rakannya mengenai subjek yang dia tidak fahami. Dia juga sering mengulangkaji bersama rakannya sekiranya mempunyai masa terluang. Melalui contoh ini, ia menunjukkan kefungsian sosial telah mendorong Ahmad untuk meneruskan pengajian sehingga ke peringkat menara gading, memerlukan sumber ekonomi untuk meneruskan hidup dan menjalankan kewajipan sebagai seorang anak. Jika Ahmad bijak membahagikan masa, maka kefungsian sosial Ahmad akan lebih teratur.


Rujukan:


Samir Muhazzab Amin & Winny Abdul.(2009) Pengantar Kerja Sosial:Kefungsian sosial dalam sistem sosial. Utusan Publications & Distributors Sdn.Bhd.